Monday 23 January 2012

SELAMAT TAHUN BARU 2012

Kenapa setiap orang perlu ada azam?
Azam, cita-cita dan matlamat, semuanya merujuk kepada satu definisi yang sama iaitu ‘impian anda’! Dalam perniagaan, kekeluargaan, kerjaya dan juga kewangan anda harus maju ke hadapan kerana masa telah berubah, zaman juga telah berubah melangkah jauh ke hadapan. Justeru, anda juga perlu bergegas maju ke hadapan.
            Persoalannya, pentingkah azam tahun baru? Sudah tentu ia sangat penting kerana tanpa azam samalah seperti anda mahu membidik sasaran tetapi tiada apa untuk ditembak. Anda punya peralatan yang cukup lengkap tetapi tiada sasaran. Maka, tiadalah booster, tiada gerakan dan tiada kemajuan. Hidup anda tidak akan berkembang dari takuk yang lama.
            Ubahlah tahun 2012 ini menjadi tahun yang paling baik dari tahun-tahun sebelumnya. Pastikan fokus anda lebih ampuh untuk mencapai azam yang telah ditetapkan. Andai kata azam lama masih belum tercapai, berusahalah untuk mencapai azam itu. Apabila sudah berjaya barulah bergerak ke azam yang seterusnya. Hidup ini adalah satu proses perjalanan, bukan satu destinasi. Selepas mencapai satu matlamat, tetapkan lagi satu matlamat lain kemudian bergeraklah ke arahnya. Pasti anda akan berasa seronok dengan proses yang anda lalui sepanjang anda berusaha mengejar matlamat kerana ia ada episod yang tersendiri.
            Sebuah azam akan menjadi sangat berbaloi jika anda membulatkan tekad mahu mencapai azam itu. Sebuah azam tidak akan berbaloi apabila anda cuma memikirkannya, bercakap mengenainya, berbahas mengenainya, bermimpi mengenainya, memvisualkannya, tetapi tiada tindakan dan strategi untuk merealisasikan azam tersebut. Semoga permulaan tahun 2012 ini kita sulami dengan tekad dan iltizam yang jitu dalam memajukan diri dan Al Jabbar Group.

No comments:

Post a Comment